Monday, July 13

Akta 333 Diteliti Semula Untuk Hukuman Lebih Berat Bagi Pemandu Sebabkan Kematian

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) — Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) akan diteliti semula supaya mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya lain dikenakan hukuman lebih berat, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Katanya beliau telah meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk meneliti semula Akta 333 kerana Kementerian Pengangkutan memandang serius isu berkaitan pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah atau memandu secara berbahaya sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya lain, termasuk anggota penguat kuasa yang bertugas.

Penelitian pindaan Akta 333 itu turut melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk JPJ, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, katanya.

Pada masa sama, Wee berkata Seksyen 45 dan 45A yang berkaitan menjaga kenderaan motor semasa berada di bawah pengaruh minuman memabukkan, atau dadah, atau dengan kepekatan alkohol melebihi had  ditetapkan, juga akan diteliti.

Ketika ini, Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan berkaitan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah dan menyebabkan kematian atau kecederaan kepada mana-mana orang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000.

— BERNAMA