Saturday, August 15

Anggota Polis Cedera Dipukul Lelaki Bawa Dadah Ketika Rondaan PKP

Lumut: Dua anggota polis cedera selepas dipukul dengan topi keledar ketika bergelut dengan seorang suspek kes pecah kedai di Taman Setia, Sitiawan di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Nor Omar Sappi berkata kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu mengakibatkan seorang anggota patah jari telunjuk kanan manakala seorang lagi lebam di kepala serta kaki, dan kedua-kedua anggota berkenaan kini dirawat di Hospital Seri Manjung.

Beliau berkata pada mulanya kedua-kedua anggota polis berkenaan terserempak dengan suspek berumur 28 tahun yang menunggang motorsikal itu semasa membuat rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan semasa memecut untuk melarikan diri, motosikal yang ditunggang suspek terbabas.

“Semasa pihak polis hendak menahan suspek, dia bertindak agresif dengan menghayunkan topi keledar ke arah anggota terbabit sehingga berlaku pergelutan dan selepas 15 minit lelaki itu berjaya ditahan seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan beberapa paket disyaki dadah serta peralatan menghisap dadah dan ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya polis turut merampas sebuah motosikal, sebilah parang panjang, satu telefon bimbit dan suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah serta seksyen 39(A)(2) Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki dadah serta Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Sumber: Bernama