Friday, September 18

Anggota Polis Maut Dilanggar Pemandu Mabuk Ketika Bertugas – Ketua Polis Daerah Kajang

Seorang anggota polis ‘gugur’ di medan peperangan ketika bertugas di sekatan jalan raya Lebuhraya LEKAS, awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang berkata, mangsa maut dilanggar pemandu mabuk ketika bertugas di sekatan jalan raya 5 Ops Covid-19.

Mangsa, Allahyarham Kpl Safwan bin Muhammad Ismail berusia 31 tahun berasal daripada Ipoh, Perak.

Menerusi kiriman daripada laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang meninggal dunia akibat dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika sedang bertugas dalam Sekatan Jalan Raya Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang, Selangor, awal pagi tadi.

Allahyarham yang mengalami kecederaan parah di badan dan kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Serdang dan dijangka akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Ulu Kinta, Perak untuk disemadikan.

Sesungguhnya pemergian Allahyarham Koperal Safwan yang berkhidmat sehingga ke hujung nyawa merupakan satu kehilangan besar buat Pasukan, khususnya warga IPD Kajang.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada’. Al-Fatihah.

 

Sumber: Polis Diraja Malaysia, Bernama