Monday, July 13

BNM Dijangka Turunkan Lagi Kadar Faedah (OPR)

KUALA LUMPUR: Standard Chartered Bank menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) esok akan mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas atau 0.5 peratus kepada 2.0 peratus.

Bank pusat dijangka terus mengurangkan sebanyak 0.25 peratus lagi pada Julai.

Dalam nota penyelidikan hari ini, ia berkata ini akan menjadikan kadar dasar kepada 1.75 peratus, lebih rendah daripada OPR sebanyak 2.0 peratus semasa krisis kewangan global 2008-2009.

“Walaupun pernyataan dasar monetari pada Mac seimbang berbanding kadar faedah rendah, kami percaya keadaan ekonomi tidak menggalakkan sejak Malaysia memperkenalkan langkah sekatan pergerakan pada 18 Mac,” katanya.

Bank itu berpendapat, susulan BNM telah mengurangkan OPR sebanyak 0.5 peratus sejak awal tahun ini, pengurangan sebanyak 0.5 peratus lagi pada Mei adalah sesuai, mengimbangi antara keperluan untuk memperluaskan sokongan dasar monetari dan kestabilan dalam keputusan dasar monetari.

“Selain itu, unjuran pertumbuhan masih tidak menentu. Walaupun jaminan fiskal penting, sokongan tidak langsung seperti moratorium pinjaman kepada individu dan perniagaan daripada institusi perbankan menyumbang sebahagian besar sokongan,” katanya.

Bank itu berkata, Malaysia mempunyai leveraj isi rumah yang agak tinggi, yang akan meraih manfaat daripada pengurangan kadar.

“Kami menjangka pengurangan sebanyak 0.5 peratus kepada kadar gadai janji akan membantu isi rumah menjimatkan kira-kira 0.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun,” katanya.

-BERNAMA