Saturday, August 15

Covid: P.Pinang Tubuh Pasukan Kerja Tinjau Isu Pelancongan

GEORGE TOWN, 22 April  — Kerajaan Pulau Pinang menubuhkan ‘Pasukan Kerja Next Normal Pelancongan Pulau Pinang’ bagi mengkaji kesan yang dihadapi sektor itu semasa dunia berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pasukan itu akan mengadakan sidang meja bulat maya dengan pemegang taruh industri untuk perbincangan awal berhubung impak sektorial yang mereka hadapi Sabtu ini.

“Pasukan kerja ini berperanan mengumpul pandangan pemegang taruh sektor berkaitan pelancongan di Pulau Pinang dan merangka strategi untuk memastikan kelangsungan sektor ini dalam situasi ‘Next Normal’ yang kita hadapi.

“Saya sendiri akan mempengerusikan pasukan kerja ini, manakala Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Yeoh Soon Hin dilantik sebagai timbalan pengerusi dan Sekretariat pasukan kerja ialah Penang Global Tourism (PGT),” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook peribadinya, di sini.

Dalam pada itu Chow turut menzahirkan rasa syukur kerana Pulau Pinang sudah lebih satu minggu mencatatkan sifar kes COVID-19 dan menurutnya ia bukanlah satu pencapaian yang mudah kerana petugas barisan hadapan terpaksa bekerja keras bagi memastikan semua pesakit dikesan, disaring, dirawat, dan dijaga dengan baik.

“Di sebalik angka-angka ini juga, anggota polis, tentera, pertahanan awam, RELA, Imigresen, pegawai Pihak Berkuasa Tempatan bermandi peluh di bawah terik matahari, dan berhujan bagi memastikan kita semua mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Hari ini, kerajaan Pulau Pinang turut menerima sumbangan berupa peralatan perubatan daripada Persatuan Kebajikan Amal Ckone bernilai RM110,000 serta sumbangan hamper 110 kotak bernilai RM15,000 daripada Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Pulau Pinang.

Sumber: BERNAMA