Friday, September 18

Dipercayai Ada Masalah Kewangan, Lelaki Tikam Isteri & Bapa Mentua Sebelum Bunuh Diri

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) — Akibat berselisih faham, seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan tergantung selepas menikam isteri dan bapa mentuanya dalam kejadian di sebuah rumah di Bangi, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan berkata polis sebelum itu, menerima laporan berkaitan kes perselisihan faham pasangan suami isteri berumur lingkungan awal 40-an yang dibuat 12.03 tengah malam.

“Menerusi laporan, mangsa (isteri) telah dipukul dengan kayu oleh suspek (suami) di bahagian belakang badan, semalam. Selain itu, mangsa turut mendakwa ditumbuk di kepala dan perut serta difahamkan kejadian dipercayai berpunca isu kewangan.

“Kemudian, mangsa bersama bapanya termasuk suspek menaiki kereta untuk pulang ke rumah mangsa untuk mengambil dokumen bagi tujuan mendapatkan rawatan di hospital. Mangsa dan suspek masing-masing cuba menyelesaikan masalah secara damai,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Zaid berkata sepanjang perjalanan menaiki kereta, suspek tidak menunjukkan sebarang tindakan agresif di dalam kereta.

“Sejurus sampai di rumah, suspek tiba-tiba berlari masuk ke dalam rumah dan mengambil pisau lalu bertindak menikam mangsa dan juga bapa mangsa,” katanya.

Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Serdang bagi menjalani rawatan dan disahkan berada dalam keadaan stabil.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang lantas bergegas ke tempat kejadian dan polis terpaksa memecah masuk ke dalam rumah selepas suspek tidak membuka pintu biarpun arahan telah diberi,” katanya.

Beliau berkata polis kemudiannya berupaya masuk rumah berkenaan namun pasukan serbuan menemukan mayat suspek dalam keadaan tergantung menggunakan kain cadar yang diikat pada kipas siling di bilik tingkat bawah rumah berkenaan,” katanya.

Mohd Zaid berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan senjata manakala kematian suspek diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: BERNAMA