Saturday, August 15

Kes Keganasan Rumah Tangga Global Boleh Bertambah Sehingga 31 Juta Kes Jika Perintah Berkurung Dilaksana Selama 6 Bulan- PBB

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menegaskan, perintah berkurung selama enam bulan boleh menjurus kepada pertambahan sebanyak 31 juta keganasan rumah tangga di seluruh dunia.

“Ia adalah peningkatan krisis di dalam krisis. Kita perlu memberi perhatian maksimum terhadap hal ini sekarang,” kata Dr Ramiz Alakbarov, Timbalan Pengarah Tabung Kependudukan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) kepada CBS News.

Dalam data oleh Universiti John Hopkins, Avenir Health dan Universiti Victoria, Australia, UNFPA meramalkan pertambahan 61 juta kes jika perintah berkurung yang ketat dilanjutkan kepada tempoh setahun.

“Ia sangat mengganggu. Jika kita tidak lakukan apa-apa, tak bercakap tentangnya, tidak memberi amaran, setiap tiga bulan akan ada pertambahan 15 juta kes,” kata Alakbarov.

Di Britain, Polis Metropolitan London dilaporkan telah melakukan 4,000 penahanan berkait keganasan rumah tangga dalam tempoh enam minggu pertama sejak perintah berkurung dilaksanakan.

Malah, peningkatan sebanyak 49 peratus panggilan kecemasan turut diterima sebuah talian hotline keganasan domestik di UK sejak langkah penjarakan sosial dilaksanakan.

16 kematian dilaporkan sejak perintah berkurung

Sekurang-kurangnya 16 kematian disyaki berkait keganasan rumah tangga dilaporkan berlaku di UK sepanjang perintah berkurung dilaksanakan.

Jumlah itu jauh meninggalkan purata kes sepanjang tempoh yang sama pada tahun-tahun lalu, lapor The Guardian.

Menurut pengasas Counting Dead Women, iaitu projek yang merekodkan pembunuhan wanita oleh lelaki di UK, sekurang-kurangnya 16 pembunuhan dilaporkan berlaku antara 23 Mac hingga 12 April termasuk kanak-kanak.

Karen Ingala Smith berkata, purata sebanyak lima kematian telah direkodkan dalam jangka masa yang sama sepanjang 10 tahun lalu.

Malah, panggilan ke talian kecemasan keganasan rumah tangga dilaporkan meningkat sejak perintah berkurung dilaksanakan.

Sementara itu menurut laporan The Scottish Sun, seorang wanita dan dua anaknya dibunuh suaminya sendiri beberapa hari selepas perintah berkurung dipercayai akibat masalah kewangan. Suspek kemudiannya membunuh diri.

Jika anda mangsa penderaan..

Berikut merupakan beberapa tips yang mungkin berguna buat anda dan individu terdekat, dikongsikan badan perlindungan wanita

  • Pastikan telefon sentiasa berada dalam capaian jika mampu
  • Hubungi dan keep in touch dengan badan perlindungan wanita untuk bantuan ketika memerlukan
  • Jika dalam bahaya, telefon 999
  • Sentiasa pastikan ada wang simpanan untuk menaiki pengangkutan awam
  • Elakkan dapur, garaj di mana terdapat pisau dan senjata lain
  • Jauhi ruang yang boleh membuatkan anda terperangkap seperti bilik air atau almari
  • Simpan nombor telefon balai polis terdekat
  • Hubungi talian Nur di 15999 atau balai polis terdekat jika berlaku kecemasan

Sumber: CBS News, The Scottish Sun, The Guardian, Woman’s Aid Organisation