Wednesday, May 27

Muhyiddin Gesa NAM Bantu Negara-Negara kecil Perangi COVID-19

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini menggesa Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) membantu negara-negara kecil memerangi wabak COVID-19.

Beliau berkata Malaysia percaya NAM perlu memainkan peranan yang lebih ketara bagi memperjuangkan akses dan perolehan bagi negara-negara kecil dalam mendapatkan bekalan perubatan, ubat-ubatan dan vaksin sebaik sahaja ia dibangunkan.

Beliau berkata Malaysia bimbang jika NAM tidak bersatu, negara-negara kecil akan dipinggirkan apabila ubat-ubatan dan vaksin dibangunkan syarikat farmasi besar di negara-negara maju.

“Kita mesti mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk pengisytiharan yang meminggirkan kepentingan negara anggota NAM apatah lagi di saat dunia sedang berdepan krisis COVID-19 ini,” kata beliau semasa Mesyuarat Sidang Kemuncak Secara Dalam Talian NAM menerusi persidangan video hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev, yang merupakan pengerusi semasa NAM bagi penggal 2019-2022. Tema sidang kemuncak itu ialah “Bersatu menentang COVID-19” bagi mempromosi solidariti antarabangsa dalam memerangi pandemik tersebut.

“Kita tidak bersendirian dalam memerangi musuh yang tidak boleh dilihat ini. Kita semua telah dan akan terus menerima kesan daripada krisis ini. Sebab itu, kita mesti bersatu,” kata Muhyiddin.

Perdana Menteri berkata Malaysia mengalu-alukan penubuhan Task Force NAM (pasukan petugas NAM), yang akan memiliki pangkalan data bersama untuk keperluan perubatan serta mengenal pasti keperluan sosial dan kemanusiaan negara anggota NAM.

“Malaysia juga menyambut baik inisiatif Azerbaijan untuk mempromosikan nilai-nilai multilateralisme dalam memerangi wabak ini menerusi Sidang Kemuncak secara Dalam Talian ini,” katanya.

Pergerakan NAM terdiri daripada 120 negara sebagai anggota serta 17 wilayah dan 10 pertubuhan antarabangsa sebagai pemerhati. Ia merangkumi hampir dua pertiga anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan mewakili lebih separuh populasi dunia.

Muhyiddin berkata: “Sekiranya COVID-19 telah membuktikan sesuatu kepada kita sebagai negara-negara berkecuali, pandemik ini mempunyai peluang yang sama untuk berjaya (ditangani) di dunia.

“Ada negara kecil, pendekatan tangani krisis COVID-19 setara malah lebih baik daripada negara yang lebih besar,” katanya.

Muhyiddin berkata inilah masanya NAM sebagai negara berkecuali membuktikan kepada dunia bahawa dengan bersatu hati dan bekerjasama rapat,ia mampu menangani wabak itu dan muncul sebagai kekuatan utama dalam global normal baharu pasca-COVID-19.

Mengenai usaha Malaysia, Muhyiddin berkata kerajaan telah membuat perancangan berdasarkan enam pendekatan untuk memastikan negara dapat menangani impak COVID-19 dan Malaysia kembali kepada situasi yang lebih baik daripada kerosakan akibat wabak itu.

“Pertama, bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19, Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sejak dilaksanakan pada 18 Mac lalu, ia telah memperlihatkan kesan yang positif. Bukan sahaja kadar kes baharu yang makin terkawal, malah kadar kematian berbanding kadar sembuh juga cumalah 1.7 peratus,” katanya.

Kedua, Muhyiddin berkata kerajaan sedang memfokus kepada usaha memastikan ketahanan ekonomi.

“Mengambil kira faktor luaran seperti perdagangan antarabangsa yang perlahan, ketidaktentuan dari sudut permintaan dan penawaran serta faktor dalaman seperti penurunan kadar perbelanjaan orang ramai susulan pelaksanaan PKP – kami memperkenalkan tiga Pakej Rangsangan Ekonomi bagi membantu menampung pendapatan rakyat semasa PKP serta melaksanakan langkah-langkah bersesuaian bertujuan memulakan semula ekonomi setelah sekatan ditarik balik,” katanya.

Beliau berkata hari ini (4 Mei), Malaysia telah melaksanakan pendekatan ketiga pelan itu yang menyaksikan negara memulakan semula ekonomi secara meluas namun tetap dalam keadaan terkawal dan teratur.

“Walaupun sebahagian besar sektor ekonomi telah dibuka semula hari ini, namun sektor serta aktiviti yang memerlukan rakyat berkumpul dan berhimpun masih tidak dibenarkan,” katanya.

Perdana menteri turut menjelaskan bahawa ini merupakan cara Malaysia ke arah mengimbangi antara memulakan semula ekonomi dan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi mencegah satu lagi gelombang jangkitan dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata pembukaan semula sektor ekonomi negara tidak bermakna Perintah Kawalan Pergerakan telah berakhir kerana ia masih berkuat kuasa sehingga 12 Mei.

Seterusnya, Muhyiddin berkata ialah pelaksanaan strategi pemulihan ekonomi dalam menghadapi normal baharu diikuti revitalisasi ekonomi yang menyeluruh dan terakhir reformasi struktur ekonomi dalam menghadapi landskap global baharu selepas COVID-19.

“Kejayaan keenam-enam ‘R’ yang telah saya nyatakan hari ini iaitu resolve, resilience, restart, recovery, revitalize dan reform amat bergantung kepada kesungguhan dan tekad rakyat kita dalam menghadapi normal baharu,” katanya.

Muhyiddin berkata selepas ini, keadaan tidak akan sama seperti sebelum wabak Covid-19 menular namun kita mesti tetap perlu berusaha sedaya upaya untuk cuba mengembalikan negara kepada situasi yang jauh lebih baik berbanding apa yang sedang kita hadapi sekarang.

“Hidup mesti diteruskan namun pada masa yang sama kita mesti bersama-sama dan berganding bahu dalam mendapatkan ubat untuk merawat serta vaksin untuk mencegah wabak ini,” katanya.

Sumber: Bernama