Saturday, August 15

Pasar Indonesia Mula Dibuka Dengan SOP Baru, Wajib Topeng Muka Dan ‘Social Distancing’

Jika di Malaysia, banyak premis perniagaan seperti pasar malam dan bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi kerana risiko wabak COVID-19 yang akan mudah menular.

Namun, lain pula bagi sebuah pasar pagi di kota Jawa Tengah, Indonesia yang dibenarkan beroperasi seperti biasa, tapi masih mengamalkan penjarakan sosial.

Pentadbiran Salatiga telah membenarkan para peniaga untuk membuka gerai masing-masing di sepanjang jalan utama namun pembeli dan penjual perlu mematuhi langkah-langkah penjarakan sosial.

Pasar tersebut beroperasi pada setiap hari bermula pukul 1 pagi hingga 6.30 pagi di Jalan Jenderal Sudirman.

Datuk Bandar Salatiga, Yuliyanto telah mengeluarkan peraturan yang mewajibkan penjual dan pembeli di pasar itu memakai topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga.

Pegawai keselamatan juga telah ditugaskan untuk mengawasi keadaan di pasar tersebut serta memastikan para penjual dan pembeli mematuhi protokol kesihatan.

Setiap lokasi gerai akan ditandakan dengan kapur serta dipastikan bahawa jarak antara gerai adalah 1 meter.

Gambar: The Jakarta Post
Gambar: KOMPAS.com

“Menutup pasar tradisional ini akan meletakkan masyarakat yang memerlukan bahan makanan dalam bahaya. Pilihan terbaik adalah mengamalkan penjarakan sosial dan melaksanakan protokol kesihatan, seperti memakai face mask dan menyediakan hand sanitizer,” kata Yuliyanto.

Beliau juga menambah bahawa tindakan tegas juga akan dikenakan terhadap masyarakat yang didapati melanggar protokol kesihatan di pasar tersebut.

“Jika ada yang tidak mahu memakai face mask, orang itu tidak akan dibenarkan masuk ke pasar. Kami melakukan semua ini demi kesihatan masyarakat agar penularan wabak coronavirus ini dapat dicegah, ” katanya lagi.

Sumber: USS Feeds, The Jakarta Post, KOMPAS.com