Tuesday, November 24

Pembukaan Semula Sempadan: Singapura Mungkin Bermula Secara Kecil Dan Selektif

Bagi pembukaan semula mana-mana sempadannya, Singapura mungkin akan bermula secara kecil dan selektif, demikian menurut Menteri Kesihatan republik itu Gan Kim Yong.

Gan berkata syarat-syarat pengasingan dan ujian akan diteruskan bagi melindungi republik itu daripada kes import baharu yang membawa kepada penyebaran dalam komuniti.

Beliau berkata demikian dalam Kenyataan Kementerian di Parlimen mengenai kemas kini kedua respons kerajaan secara keseluruhan kepada COVID-19 di sini hari ini.

Gan berkata pelbagai faktor atau indikator akan diteliti dalam mempertimbang pembukaan sempadan yang merupakan sebahagian langkah pemutus rantaian COVID-19 lebih ketat.

“Kami perlu membuat penilaian situasi secara global dan bagi setiap negara, untuk memaklumkan sejauh mana dan pendekatan dalam pembukaan semula sempadan kami.

“Kami akan mengkaji kadar jangkitan di negara lain dan langkah yang mereka ambil bagi membendung penularan wabak itu,” katanya.

Singapura melaporkan kes import pertamanya pada 23 Jan dan daripada jumlah keseluruhan kes yang dicatat setakat Ahad iaitu sebanyak 18,205, Singapura mengenal pasti 579 atau hanya 3.18 peratus sebagai kes import.

Gan berkata angka itu adalah penting namun ia bukan satu-satunya yang dipertimbang sebelum menamatkan langkah pemutus rantaian.

“Kami perlu yakin bahawa jangkitan komuniti secara tempatan telah dapat dibendung atau amat rendah. Kes komuniti hendaklah secara ideal jatuh ke tahap sifar atau satu digit setiap hari, dengan jumlah kes tidak berkaitan yang amat sedikit, dan bukan hanya bagi tempoh sehari sebaliknya berlanjutan bagi jangka masa tertentu.

“Meskipun kami dapat memastikan kes komuniti tempatan berada pada tahap rendah biarpun berdepan jumlah kes yang tinggi dalam kalangan pekerja migran, adalah penting bagi mengurangkan kes pekerja migran dari semasa ke semasa walaupun ia akan memakan masa yang lebih lama,” katanya.

Jika tidak, Singapura akan terus berdepan risiko limpahan jangkitan dari asrama pekerja asing ke dalam kalangan penduduk secara lebih meluas, katanya.

Mengemas kini kadar jangkita dalam kalangan petugas penjagaan kesihatan, Gan berkata berdasarkan siasatan setakat ini, tidak wujud kaitan epidemiologi bahawa mereka dijangkiti ketika bertugas menjaga pesakit.

Setakat 26 April, Gan berkata terdapat 66 kes jangkitan COVID-19 yang disahkan dalam kalangan petugas penjagaan kesihatan dengan 46 kes membabitkan kontak langsung dengan pesakit.

Beberapa rakyat Malaysia adalah sebahagian daripada 66 kes yang dijangkiti dalam kalangan petugas penjagaan kesihatan di sini.

Merujuk kajian Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID) baru-baru ini, Gan berkata ia tidak mengesan sebarang jangkitan masa lampau dalam kalangan sampel petugas penjagaan kesihatan.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh leka,” kata menteri itu.

Sumber: BERNAMA