Friday, September 18

(Video) Jenazah Allahyarham Koperal Safwan Selamat Dikebumikan Mengikut Istiadat Polis Pagi Tadi

Jenazah anggota polis, Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail yang terkorban dalam nahas rempuhan ketika bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 di Plaza Tol LEKAS baru-baru ini telah selamat dikebumikan.

Mengikut perkongsian di facebook, jenazah dikebumikan secara istiadat polis di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan, Perak pagi tadi.

Halaman Facebook Friends of PDRM awal pagi tadi memuat naik rakaman video istiadat keberangkatan jenazah dari Bilik Penyerahan Hospital Serdang menuju ke lokasi pengebumian di Tanjung Rambutan, Perak sekitar pukul 2.15 pagi.

Dalam pada itu, seorang warga Facebook, Romy Irwan Shah turut memuat naik rakaman video ketibaan jenazah Allahyarham Koperal Safwan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata.

Ketibaan jenazah di sana disambut oleh puluhan tetamu dipercayai ahli keluarga, anggota polis, saudara-mara dan sebagainya.

Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail meninggal dunia akibat dirempuh oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai dipandu oleh pemandu mabuk ketika bertugas mengawal sekatan jalan raya Op COVID-19 di Plaza Tol Lekas baru-baru ini.

Pemergian arwah yang terkorban ketika bertugas demi negara adalah satu pengorbanan yang harus disanjung oleh rakyat Malaysia.

Apatah lagi arwah gugur dalam ketika umat Islam menjalani ibadah di bulan suci Ramadan.

Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Dan semoga si pelaku berkenaan menerima hukuman dengan sewajarnya di pentas pengadilan.

Al-Fatihah.

Sumber: Friends of PDRM, Romy Irwan Shah